Saturday, 30 July 2011

Senaman menjadi Wajib

Menurut Dr Hjh Masni Mohamad, pakar perubatan Endokrinologi, Hospital Putrajaya bahwa pancreas berkurang fungsinya sebanyak 4% setiap tahun. Jika tidak ada usaha memulihkan fungsi pancreas, maka kita dapat meramalkan pancreas akan hilang fungsi sepenuhnya dalam masa 25 tahun bermula daripada tahun kita mengesan kelemahan pancreas tersebut.

Pancreas ialah organ penting dalam badan manusia bagi menghasilkan insulin, sejenis hormone yang membantu proses menukar gula menjadi tenaga. Melalui insulin setiap sel dalam badan dapat menerima tenaga yang diperlukan oleh organ untuk melaksanakan fungsinya.

Kita boleh andaikan proses mengirim insulin ke organ organ dengan kaedah menghantar serahan mesej singkat (SMS). Andaikan 20 SMS dihantar ke organ organ untuk membekal insulin tetapi hanya 15 organ sahaja yang menjawab atau respon dan 5 organ lagi tidak menjawab. Organ yang tidak menjawab SMS tersebut adalah organ yang tidak berfungsi. Organ yang tidak berfungsi akan menjadi masalah kepada kita.

Bagaimanakah kita mengaktifkan 5 organ yang tidak berfungsi itu? Cara terbaik menurut pandangan doctor ialah dengan bersenam. Supaya kesihatan kita berada dalam kondisi optimal, kita wajib bersenam kerana melalui badan yang sehat ibadah kita kepada Allah akan semakin mantap.

Melalui senaman kita mengaktifkan organ organ dalam badan kita untuk menerima tenaga yang dibekalkan sesudah insulin berjaya mengaktifkan sel dan membiarkan sel sel menyerap gula dan menjadikannya tenaga untuk pergerakan badan.

Mengawal kadar gula dalam badan merupakan tugas setiap manusia, sebab bila paras gula terlalu tinggi kerana beberapa organ dalam badan sudah mula rosak kita akan menghadapi hiperglisemia dan boleh membawa kematian. Sebaliknya jika paras gula dalam badan terlalu rendah dan badan kehilangan tenaga untuk bergerak, maka kita akan menghadapi keadaan hipoglisemia dan boleh juga membawa kematian. Jadi, kawalan gula dalam darah yang stabil sangatlah penting agar kedua-dua fenomena di atas tidak berlaku.

Kadar gula dalam darah yang normal berada antara 4.4 hingga 6.1 mmol. Sesiapa yang mempunyai kadar gula dalam darah di bawah atau di atas daripada kadar normal akan menghadapi dua kes yang disebut dalam perenggan di atas, iaitu hipoglisemia (kurang gula) atau hiperglisemia (lebih gula).

Bagi mereka yang mempunyai fenomena kencing manis sebaiknya mempunyai alat pengukur
kadar darah agar kita boleh mengetahui pada bila-bila masa kadar gula dalam darah, dengan mengetahui kadar gula dalam darah kita boleh mengambil tindakan segera mengatasi masalah.

Jika kekurangan gula segeralah kita menambah kadar gula dengan mengambil makanan
manis atau gula-gula. Jika kelebihan kadar gula bolehlah diatasi dengan cara cara yang dicadangkan oleh doctor seperti bersenam dan sebagainya.

Bagaimanakah kita mengesan fenomena kencing manis. Apakah fenomena itu sudah melanda kita? Cara terbaik ialah meminta doctor di mana mana klinik mengadakan ujian glukosa. Doktor akan meminta anda meminum larutan gula yang sangat manis sehingga terasa pahit. Satu jam kemudian doctor akan mengambil bacaan kadar gula dalam darah anda. Selepas itu anda diminta datang lagi satu jam kemudian, bacaan kedua akan diambil pula. Doktor akan memberi keputusannya kepada anda sama ada anda sudah diserang fenomena kencing manis.

Lebih baik kita tahu lebih awal apakah fenomena itu sudah melanda kita kerana dengan itu kita boleh membuat persiapan menghadapinya. Jangan sekali kali mengatakan bahwa fenomena itu tidak ada sebelum kita membuat ujian glukosa.
Pada masa ini saya beranggapan bersenam itu wajib bagi mendapat kesihatan yang terbaik dan dengan kesihatan yang terbaik kita boleh berfungsi sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan peranan yang terbaik juga. Hanya pada badan yang sehat, minda kita akan cergas. Apabila minda cergas, kerja kerja dakwah dan kehidupan harian dapat dijalankan dengan sempurna.


Apabila rasa malas mengintai untuk melemahkan semangat kita untuk bersenam, maka ingatlah dalam minda kita bahwa harga kesihatan jauh lebih mahal daripada wang yang kita ada. Lebih baik kita bersikap proaktif dengan bersenam bagi menghindarkan penyakit daripada bersusah payah kemudian untuk mengobati penyakit. Sediakan payung sebelum hujan. Itu pepatah orang Melayu yang semua orang tahu dan sebenarnya orang Melayu ialah orang yang proaktif. Kenapa tidak kita semarakkan sikap baik kita itu buat selama lamanya.

Sunday, 17 July 2011

Pengurusan Diabetes Ketika Berpuasa

Ceramah pengurusan diabetes ketika berpuasa telah disampaikan oleh Dr Masni Mohamad, Pakar Perubatan Endokrinologi, Hospital Putrajaya pada 18 Julai 2011. Ceramah telah dihadiri sekitar 30 orang peserta bermula jam 9.15 pagi hingga 10.30 pagi. Banyak panduan dan pengetahuan yang kita perolehi melalui ceramah beliau itu.

Ada tiga komponen organ yang terlibat dalam fenomena kencing manis iaitu hati (liver), pankerias dan saluran darah. Pankerias berfungsi menghasilkan insulin, sejenis hormone yang diperlukan sebagai kunci kepada distribusi gula dalam darah.

Gula diperolehi melalui makanan dan yang memproses gula ialah hati (liver). Setiap sel dalam badan manusia memerlukan gula sebagai tenaga untuk mengerakkan fungsinya. Apabila gula tidak sampai ke sesuatu organ yang memerlukan gula untuk berfungsi, maka organ berkenaan tidak dapat berfungsi kerana tiada tenaga. Insulin bertindak sebagai anak kunci kepada sel, jika sel itu boleh dibuka oleh insulin maka sel berkenaan boleh menerima gula yang dikirim melalui saluran darah dan dimanfaatkan oleh sel berkaitan bagi menjalankan fungsi hakikinya.

Ada sebahagian manusia yang pankeriasnya tidak berfungsi mengeluarkan insulin. Maka diperlukan insulin dari luar bagi membantunya mengatasi fenomena kencing manis. Penderita kumpulan ini disebut sebagai Diabetes Jenis 1.

Sebahagian manusia pula menghadapi masalah pankeriasnya tidak mengeluarkan insulin secukupnya untuk membantu mengatasi fenomena kencing manis dan memerlukan obat-obatan bagi membantu pankerias menghasilkan insulin yang mencukupi bagi menghadapi fenomena kencing manis. Penderita jenis ini dinamakan Diabetes Jenis 2. Banyak obat-obatan yang telah dicipta bagi membantu penderita jenis kedua ini, antaranya Metformin, Daonil, Diamicron, Acarbose, Glicazade MR, Januvia dan lain-lain.

Bagaimana kita mengenali gejalan fenomena kencing manis akan melanda kita? Ini suatu soalan yang perlu ditanyakan oleh setiap orang. Jika anda selalu haus (dahaga), kerap buang air kecil, lesu, dan keletihan maka segeralah buat ujian OGTT (telah disebut dalam artikel sebelum ini). Lebih baik kita tahu lebih awal daripada tiba-tiba datangnya tsunami kencing manis pula.

Ada dua akibat dahsyat bagi penderita kencing manis iaitu hypoglisemia (kekurangan gula) dan hyperglisemia (kelebihan gula). Kedua-dua keadaan yang ektsrim akan menjurus kepada kematian jika tindakan segera tidak diambil. Akibat-akibat lain ialah diabetes ketoacidosis, “dehydration (kekurang air dalam badan)”, dan “thrombosis”.

Golongan pengidap yang tidak dibenarkan berpuasa iaitu mereka yang mempunyai fenomena kencing manis yang tidak dapat dikawal dan pengidap yang tidak mengikut nasihat doktor dalam penjagaan dan pengawalan fenomena kencing manis mereka. Nasihat doktor pakar diperlukan sebelum pengidap kencing manis berhasrat meneruskan puasa mereka.

Mereka yang hanya penginap jenis 2 dan bergantung kepada obat sahaja dan berkeadaan obese, maka mereka digalakkan sangat berpuasa dan boleh mengurangkan berat badan jika berpuasa.

Beberapa peraturan digariskan bagi penderita kencing manis ketika berpuasa iaitu:
1. Mereka mesti bersahur lewat dengan memakan makanan yang banyak serat seperti sayur-sayuran dan ketika berbuka dianjurkan makan makanan manis. Semuanya dalam kuantiti yang sedikit.
2. Jangan lambat berbuka puasa.
3. Ambil obat seperti yang doktor cadangkan. Obat yang biasanya diambil waktu pagi dipindahkan ke waktu berbuka dan obat yang biasanya diambil waktu malam dipindahkan ke waktu sahur.
4. Jangan makan berlebihan.
5. Usahakan menjaga dan mengawal diabetes secara am.
6. Kenali tanda-tanda hypoglisemia dan juga hyperglisemia.
7. Mesti segera berbuka bila berlaku hypoglisemia dan hyperglisemia.

Pemeriksaan kadar darah dalam badan perlu dilakukan seperti biasa ketika berpuasa bagi mengetahui keadaan sebenar kadar darah kita untuk tujuan kawalan dan tindakan. Masa pengujian darah secara sendiri boleh dilakukan dalam empat keadaan, (1) sebelum makan sahur, (2) 3 - 4 jam selepas sahur, (3) sebelum berbuka puasa, (4) 3 – 4 jam selepas buka puasa.

Cara terbaik mengawal fenomena diabetes ialah mengawal pemakanan dan bersenam. Jika kita ingin tetap sehat jagalah pemakanan dan wajibkan diri kita untuk bersenam setiap hari kalau boleh atau tiga kali seminggu walau pun dengan memaksa diri.

Hanya redha Allah yang kita cari dan bersama-sama menjaga anugerah Allah yang berupa badan, minda dan keluarga di sekeliling kita.

Fenomena Diabetes Melanda Melayu

Pada hari ini buat pertama kali saya menghadiri ceramah penjagaan diabetes semasa bulan ramadhan. Ceramah telah disampaikan oleh Dr Masni Mohamad, Pakar Perubatan Endokrinologi, Hospital Putrajaya. Dihadiri sekitar 30 orang peserta bermula jam 9.15 pagi hingga 10.30 pagi.

Menurut statistik pada tahun 2004, sekitar 3.9 juta atau 14.9% penduduk Malaysia mengidap kencing manis (diabetes), dan dalam kajian terkini (2010), jumlah menderita sudah mencapai hampir 5 juta atau 22% rakyat Malaysia mengidap Kencing Manis dengan peratusan tertinggi adalah dikalangan orang Melayu. Faktor utama penyebab kencing manis ialah makanan dan kurang bersenam.

Di dunia, fenomena kencing manis meningkat lima kali ganda dalam masa 15 tahun. Data tahun 1985 ialah 30 juta pengidap fenomena kencing manis, meningkat menjadi 150 juta pada tahun 2000.

Setelah mendengar ceramah dan membuat beberapa rujukan, saya berpendapat kencing manis bukanlah suatu penyakit. Saya mengkategorikannya sebagai fenomena. Samalah seperti cuaca dingin, panas dan terlalu panas. Cuaca diukur melalui alat ukur suhu dan dalam darjah Fahrenheit (F) atau Celcius (C). Suhu normal di Malaysia ialah sekitar 25 darjah Celcius. Dalam kencing manis pun fenomena diukur daripada kandungan gula dalam darah biasanya dalam unit mmol/L. Jika selepas melaksanakan OGTT (Oral Glucose Tolerance Test) kadar gula kurang dari 6.1 mmol/L anda dianggap normal dan selepas 2 jam mengambil glukos, bacaan kadar gula dalam darah anda berada di bawah paras 7.8 mmol/L, anda dikatakan normal atau tiada fenomena kencing manis. Anda akan dikategorikan sebagai pengidap kencing manis jika bacaan dalam ujian OGTT melebihi 7.0 mmol/L dan selepas 2 jam pengambilan glukos ialah melebihi 11.1 mmol/L.

Dalam forum ini, berdasarkan bacaan dan konsultasi dengan pakar saya akan cuba menulis mengenai fenomena senyap tetapi merugikan kehidupan kita ini dan marilah kita sama-sama menjaga agar fenomena ini tidak berlanjutan.